Al-Tusi adalah seorang ahli sains, ilmu hisab, astronomi, philosofi, teologi (ilmu ketuhanan) dan tabib yang terkenal sewaktu zamannya. Beliau juga seorang penulis prolifik. Beliau menghasilkan banyak karangan dalam berbagai-bagai bidang seperti ilmu algebra, arithmetik, trigonometri (ukur segitiga), geometri, lojik, metafizik, perubatan, ilmu kesusilaan dan teologi.
Abu Jafar Muhammad Ibn Muhammad Ibn al-Hasan Nasir al-Din al-Tusi dilahirkan di Tus, Khurasan (kini Iran) pada 1201. Beliau menuntut ilmu sains dan philosofi semasa di bawah penjagaan Kamal al-Din Ibn Yunus. Al-Tusi telah diculik oleh ejen-ejen Isma'ili Hasan Bin Sabah dan dihantar ke Alamut di mana beliau berada di situ hingga ejen-ejen Isma'ili ditangkap oleh Mongol Halagu khan pada 1256.
Ilkhanid Halagu khan telah melantiknya sebagai salah seorang menterinya kerana beliau tertarik dengan kebolehan al-Tusi yang luarbiasa dalam bidang astrologi. Al-Tusi kemudian berkhidmat sebagai ahli administrasi kepada Auqaf. Pada 1262, beliau membina sebuah makmal kajian di Meragha dan mengarah kesemua aktiviti-aktivitinya. Bangunan itu dilengkapi dengan alat-alat dari Baghdad dan pusat-pusat pengajian Islam yang lain. Ia mengandungi 12 dinding segiempat yang dibina daripada tembaga dan dinding azimut dan 'turquet' yang dicipta oleh al-Tusi. Peralatan lain termasuk 'Astrotables', 'epicycles', lambang-lambang bintang rasi dan bentuk-bentuk sfera. Al-Tusi juga mencipta beberapa peralatan untuk makmal kajiannya.
Al-Tusi menghasilkan sebuah daftar tepat mengenai pergerakan planet-planet dan sebuah katalog bintang-bintang. Beliau menerbitkannya dalam buku bertajuk 'Al-Zij-Ilkhani' yang ditujukan kepada Ilkhan Halagu Khan. Daftar tersebut dibuat berdasarkan kajiannya selama 12 tahun dan bergantung pada pengamatannya semata-mata. Al-Tusi mencatatkan waktu ekuinoks (waktu apabila matahari melintasi garisan khatulistiwa) sebagai 51'. Al-Tusi adlah salah seorang daripada beberapa ahli astronomi Islam yang mengenalpasti ketidakpastian model-model Ptolemy berdasarkan prinsip mekanisme dan memperbetulinya. Kritikannya terhadap teori-teori Ptolemy meyakinkan ahli-ahli astronomi akan datang tentang perlunya mencipta model akhir alternatif dalam hasil kerja Copernicus yang terkenal. Al-Zij-Ilkhani menjadi buku utama kepada ahli-ahli astronomi hingga abad ke-15. Karangannya dalam bidang astronomi bertajuk 'Tadhrika Fi Ilm Al-Haya' termasuk ciptaan aslinya untuk membuat pergerakan garis lurus sepanjang garis pusat daripada bulatan luar dari 2 pergerakan bulatan. Di akhir kerjayanya, beliau berpindah ke Baghdad dan meninggal dunia pada 1274 di Kadhimain (berdekatan Baghdad, kini Iraq).
Al-Tusi mempelopori trigonometri sfera termasuk 6 formula dasar untuk mencari penyelesaian bagi sfera dan segitiga tepat. Salah satu sumbangannya yang paling besar dalam ilmu hisab ialah penerimaan trigonometri sebagai sebahagian daripada ilmu hisab yang baru. Beliau menulis tentang awalan pendepan binomial (binomial coefficients) yang kemudian diperkenalkan oleh Pascal.
Al-Tusi menghidupkan kembali philosofi Avicenna. Bukunya 'Akhlaq-I-Nasri' (Nasirean Ethics) dianggap sebagai salah sebuah buku terpenting tentang tatasusila dan terkenal buat beberapa abad. Tajrid-al-'Aqaid pula adalah hasil kerja yang cukup baik tentang pendidikan philosofi Islam. Beliau juga mengarang beberapa rangkap puisi.
Al-Tusi adalah seorang penulis prolifik. Beliau mengarang dalam bahasa Arab dan Parsi. Menurut George Sarton, 64 karangannya dipercayai dapat dilestarikan. Ia diterjemah ke dalam bahasa Latin dan bahasa-bahasa Eropah yang lain dalam Zaman Pertengahan. Buku al-Tusi bertajuk 'Shaq al-Qatta' diterjemah ke dalam bahasa Latin dengan tajuk "Figura Cata". Di antara anak didik al-Tusi ialah Nizam al-Araj yang menulis komentar tentang Almagest sementara Qutb ad-Din ash-Shirazi memberi penerangan tentang pelangi dari sudut ilmu hisab dengan baik. Sumbangan al-Tusi diiktiraf selama beberapa abad.